Thursday, December 18, 2014

Menjaga si comel tanpa ibu

ANAK kucing yang dipelihara oleh ibunya mempunyai kelangsungan hidup yang lebih baik berbanding kucing yang ditinggalkan dan dipelihara oleh manusia. Sekiranya anda ingin memelihara anak kucing tanpa dijaga ibunya, wajarlah membuat beberapa persediaan.
Seperti seorang bayi, anak kucing memerlukan penjagaan yang rapi dan sempurna.
Anak kucing yang baru lahir perlu makan setiap dua hingga tiga jam. Kucing mempunyai perut yang kecil dan memerlukan jumlah makanan sedikit tetapi berkala. Jangan berikan susu lembu kepada anak kucing kerana ini boleh menyebabkan sembelit dan kehilangan air pada badan.
Berikan susu yang dirumus khas untuk kucing yang boleh diperoleh daripada klinik veterinar dengan pelbagai jenama. Botol susu khas juga perlu diguna untuk menyusu anak kucing dengan saiz yang bersesuaian.
Susu perlu diberikan dalam keadaan suam dan bukan panas. Ia sama seperti menyusukan bayi manusia. Kaedah mudah penyusuan anak kucing ialah menggunakan picagari.
Seperti manusia, anak kucing perlu dilatih membuang air besar dan kecil. Anak kucing tidak boleh mengawal perkumuhan sehinggalah berumur empat minggu. Bermula dari kelahiran sehingga minggu ke empat, ibu kucing akan merangsang sistem perkumuhan anaknya untuk membuang dengan cara menjilat kemaluan anak kucing.
Anda mungkin perasan, kenapa anak kucing yang berusia beberapa hari kelihatan bersih seperti tidak ada membuang air besar dan kecil. Sekiranya ada, kesan najis hanya terpalit pada kotak atas kertas yang menjadi alas tidur kucing tersebut.
Ini kerana ibu kucing akan menjilat kemaluan anaknya untuk merangsang si comel ini membuang air. Najisnya yang keluar pula akan dijilat dengan penuh kasih sayang oleh si ibu sebagai proses membersih dan mencuci.

IBU kucing memberi kehangatan kepada anaknya.


Kaedah sama juga perlu dilakukan sekiranya anda memelihara anak kucing yang masih memerlukan pengawasan ibunya. Bagaimanapun, kaedah rangsangan ini boleh ditiru dengan menggunakan kain lembut atau putik kapas yang suam dan basah.
Pusingkan badan anak kucing secara lembut sebelum gosokkan putik kapas atau kain lembab pada kemaluan sehingga kencing atau najis keluar. Prosedur ini perlu dilakukan setiap kali selepas anda menyusukan si comel.
Setelah selesai, jangan lupa mencuci kesan najis itu kerana jika tidak ia menimbulkan masalah lain seperti jangkitan kuman di bahagian kemaluan.
Bermanja
Anak kucing tidak mempunyai lemak pada badan untuk mengekalkan suhu tubuhnya. Haiwan ini biasanya bermain-main sesama sendiri bersebelah ibunya untuk berkongsi haba. Sekiranya anda memelihara anak kucing yang tiada ibu, anda perlu memberi haba ini menggunakan botol mengandungi air panas atau pad pemanas.
Jika menggunakan pad pemanas, tetapkan suhunya pada kadar sederhana. Gunakan tuala atau kain tebal sebagai pelapik antara botol panas atau pad pemanas tadi bagi memberikan kesan haba yang bersesuaian. Pastikan anak kucing mempunyai ruang untuk merangkak keluar dari pad pemanas atau botol jika ia merasa terlalu panas.
Anak kucing perlu berada di kawasan yang dikekangkan seperti dalam kotak kecil dialas dengan kain di kawasan yang tidak berhabuk.
Anak kucing tanpa ibu ini diberi makan pejal seperti anak kucing biasa. Boleh juga dibiasakan dengan sedikit makanan berdaging yang dirumus khas untuk kucing yang berumur empat minggu. Pada peringkat usia ini juga galakkan anak kucing menggunakan kotak najis.
Masalah perilaku memang biasa berlaku bagi anak kucing tanpa ibu kerana ia tidak dilatih oleh kucing dewasa lain. Haiwan ini cenderung menggigit dengan kuat dan adakalanya suka bermain dengan kasar. Tingkah laku sama juga boleh dilihat pada anak kucing yang dipelihara ibunya atau kucing dewasa lain.
Biasanya, kucing dewasa akan mengajar anak kucing dan memberi reaksi dengan menggigit balas, mencakar dan bergurau secara kasar. Kaedah lain ialah anda boleh melatih anak kucing ini agar tidak menggigit atau tidak bermain secara agresif ialah menggunakan semburan air atau lidi.
sumber : 

No comments:

Post a Comment